Partial Payment (Bayaran Sebahagian): Maksud, Contoh Dan Cara Rekod
Supplier hantar penyata, dan ada invois bertulis “Partially Paid”. Pelanggan pula transfer RM1,000 dan kata, “baki minggu depan.” Dua-dua situasi ni ada nama yang sama.
Partial payment (bayaran sebahagian) bermaksud sebahagian sahaja daripada jumlah invois yang dibayar; bakinya masih perlu dijelaskan kemudian.
Maknanya, invois itu belum selesai. Yang anda perlu tahu ialah berapa bakinya, siapa yang masih perlu bayar, dan macam mana nak rekod supaya tak tersilap. Halaman ni terangkan semuanya dengan satu contoh invois RM3,000.
Isi Kandungan
- 01. Jawapan Ringkas: Apa Maksud Partial Payment
- 02. Anda Yang Bayar Atau Anda Yang Terima
- 03. Jenis Bayaran Sebahagian Yang Biasa
- 04. Contoh: Satu Invois RM3,000, Dua Pihak
- 05. Cara Rekod Bayaran Sebahagian
- 06. Kesilapan Biasa
- 07. Cara Minta Pelanggan Bayar Sebahagian Dulu
- 08. Jejak Baki Bila Bayaran Masuk Sikit-Sikit
- 09. Rekod Bayaran Dalam Niagawan
- 10. Soalan Lazim
01. Jawapan Ringkas: Apa Maksud Partial Payment
Partial payment ialah bayaran yang kurang daripada jumlah invois. Invois itu belum selesai sampai bakinya dibayar.
Dah dibayar: RM1,000
Baki masih perlu dibayar: RM2,000
Partial payment bukan semestinya separuh. RM100 untuk invois RM3,000 pun dikira partial payment, asalkan jumlahnya kurang daripada jumlah invois.
Bila anda nampak status Partially Paid pada invois atau penyata, maksudnya sama: sebahagian dah dibayar, baki masih terbuka. Dalam bahasa Melayu, ia dipanggil bayaran sebahagian atau bayaran separa. Ada juga yang sebut part payment.
02. Anda Yang Bayar Atau Anda Yang Terima
Partial payment ada dua sisi. Sebelum rekod apa-apa, tanya diri sendiri: dalam invois ni, anda yang bayar atau anda yang terima bayaran?
📤 Anda bayar sebahagian bil supplier
Invois barang RM3,000, anda bayar RM1,000 dulu.
Baki RM2,000 ialah hutang anda kepada supplier.
Yang perlu dijejak: berapa lagi anda perlu bayar, dan bila.
📥 Pelanggan bayar sebahagian invois anda
Anda keluarkan invois RM3,000, pelanggan transfer RM1,000.
Baki RM2,000 ialah duit pelanggan belum bayar kepada anda.
Yang perlu dijejak: siapa masih berbaki, berapa, dan sejak bila.
Invois yang sama boleh dilihat dari dua sisi ni. Bagi yang membeli, baki ialah hutang. Bagi yang menjual, baki ialah duit yang belum masuk. Kalau anda yang terima bayaran, ada juga panduan cara semak siapa belum bayar setiap minggu.
03. Jenis Bayaran Sebahagian Yang Biasa
Kenapa perlu tahu jenisnya? Sebab setiap jenis ada perkara berbeza yang perlu disemak sebelum anda anggap baki itu betul.
1. Deposit dulu, baki kemudian
Bayar sebahagian bila order, baki bila barang sampai atau kerja siap. Biasa untuk barang yang perlu ditempah atau dibuat khas.
2. Bayar ikut peringkat
Bayaran dipecah ikut jadual yang dah dipersetujui, contohnya tiga kali, sebulan sekali. Ada yang panggil ansuran atau bayaran berkala.
3. Bayar kurang tanpa berbincang
Pelanggan transfer RM2,800 untuk invois RM3,000 tanpa beritahu apa-apa. Baki RM200 masih terbuka. Tanya dulu sebabnya sebelum anggap invois itu selesai.
4. Satu bayaran untuk beberapa invois
Ada tiga invois, tapi hanya satu transfer. Kalau jumlahnya tak cukup untuk semua, ada invois yang jadi separa dibayar. Tulis bayaran itu untuk invois mana.
Deposit yang dibayar sebelum invois keluar bukan partial payment sebuah invois. Masa tu belum ada invois untuk dibayar sebahagian. Itu bayaran pendahuluan (advance). Bila invois keluar nanti, deposit itu biasanya diambil kira sebagai bayaran pertama untuk invois tersebut.
Deposit keselamatan yang akan dipulangkan pula perkara lain, sebab ia bukan bayaran untuk barang atau servis. Baca cara rekod deposit yang akan dipulangkan.
04. Contoh: Satu Invois RM3,000, Dua Pihak
Kedai Runcit Aminah beli stok barang kering daripada Borong Maju. Invois B-118 bertarikh 3 Mac, jumlahnya RM3,000. Aminah bayar tiga kali. Semua nama dan angka hanya contoh untuk belajar.
| Tarikh | Bayaran (RM) | Baki (RM) |
|---|---|---|
| 3 Mac — invois B-118 dikeluarkan | — | 3,000 |
| 5 Mac — bayaran pertama | 1,000 | 2,000 |
| 20 Mac — bayaran kedua | 1,000 | 1,000 |
| 4 April — bayaran terakhir | 1,000 | 0 ✅ |
Cara kira baki: ambil jumlah invois, tolak semua bayaran setakat hari itu. Pada 20 Mac: RM3,000 − RM1,000 − RM1,000 = RM1,000.
Dari 5 Mac hingga 4 April, status invois ini ialah Partially Paid. Pada 4 April baki jadi sifar, baru invois itu selesai dibayar.
Bagi Kedai Aminah (yang bayar)
Hutang kepada supplier turun: RM3,000 → RM2,000 → RM1,000 → RM0.
Bagi Borong Maju (yang terima)
Duit pelanggan belum bayar turun dengan angka yang sama: RM3,000 → RM2,000 → RM1,000 → RM0.
Invois tak berubah. Yang berubah ialah baki. Dari mula sampai habis, invois B-118 tetap RM3,000. Setiap bayaran direkod berasingan dengan tarikhnya sendiri, dan baki turun sampai sifar.
Maksud partial payment memang mudah. Yang susah ialah bila invois makin banyak: supplier mana dah dibayar separuh, pelanggan mana masih berbaki. Tak perlu kira baki satu-satu dari buku. Dalam Niagawan, laporan aging tunjuk baki setiap pelanggan dan supplier yang belum selesai dibayar, diasingkan ikut dah berapa lama.
Nak tengok macam mana Niagawan bantu pantau invois yang belum selesai dibayar? Lihat Sistem Akaun Niagawan →
05. Cara Rekod Bayaran Sebahagian
Buku, Excel atau sistem akaun, langkahnya sama. Kalau rekodnya betul, anda sentiasa tahu baki sebenar tanpa perlu kira semula setiap kali supplier atau pelanggan bertanya.
- Simpan invois asal dengan jumlah penuh. Jangan tukar RM3,000 jadi RM2,000 selepas deposit.
- Rekod setiap bayaran berasingan untuk invois itu: tarikh, jumlah, dan sama ada tunai atau masuk bank.
- Resit atau baucar bayaran tulis jumlah yang betul-betul dibayar. Bayar RM1,000? Resit RM1,000, bukan RM3,000. Tulis juga nombor invois. Kalau perlu rujukan susun atur, tengok contoh resit.
- Catat baki selepas setiap bayaran.
- Invois kekal belum selesai sampai baki jadi sifar. Baru tanda selesai.
Baki tu masuk mana? Kalau anda yang bayar supplier, baki ialah hutang kepada supplier. Dalam perakaunan ia dipanggil Akaun Belum Bayar (Accounts Payable). Kalau pelanggan yang bayar anda, baki ialah duit pelanggan belum bayar, atau Akaun Belum Terima (Accounts Receivable).
Tarikh akhir untuk baki biasanya ikut tarikh akhir invois asal, kecuali anda dah setuju tarikh lain dengan supplier atau pelanggan. Kalau belum biasa dengan tarikh ni, baca maksud due date pada invois.
Untuk Akauntan: Catatan Debit & Kredit Bagi Contoh RM3,000
Pihak yang membeli: bila invois diterima, Dt Belian (atau Stok) RM3,000, Kt Akaun Belum Bayar RM3,000. Setiap bayaran: Dt Akaun Belum Bayar RM1,000, Kt Bank RM1,000.
Pihak yang menjual: bila invois dikeluarkan, Dt Akaun Belum Terima RM3,000, Kt Jualan RM3,000. Setiap bayaran diterima: Dt Bank RM1,000, Kt Akaun Belum Terima RM1,000.
06. Kesilapan Biasa
Tanda Invois Dah Bayar Selepas Deposit
Contoh: pelanggan bayar RM1,000, dan invois RM3,000 terus ditanda selesai. Kesan: baki RM2,000 hilang daripada senarai, jadi tiada siapa kejar. Betulkan: tanda selesai hanya bila baki sifar.
Buat Invois Baru Untuk Baki
Contoh: invois RM3,000 dah keluar, lepas deposit anda buat invois lagi RM2,000. Kesan: jualan (atau belian) nampak RM5,000, lebih RM2,000 daripada sebenar. Betulkan: kekalkan satu invois, dan rekod setiap bayaran padanya.
Tulis Jumlah Invois Pada Resit
Contoh: pelanggan bayar RM1,000, tapi resit tulis RM3,000. Kesan: resit tu macam bukti pelanggan dah langsai, walhal baki RM2,000 belum dibayar. Betulkan: resit sentiasa tulis jumlah yang diterima.
Deposit Direkod Dua Kali
Contoh: deposit RM1,000 dicatat sebagai jualan (atau belanja) berasingan, kemudian invois penuh RM3,000 pun dicatat juga. Kesan: RM1,000 dikira dua kali. Betulkan: rekod deposit itu sebagai bayaran untuk invois yang sama.
Bayaran Pukal Tak Dipadankan Dengan Invois
Contoh: RM4,000 masuk untuk tiga invois, tapi tiada catatan invois mana dibayar berapa. Kesan: tiada siapa tahu invois mana yang masih terbuka. Betulkan: pecahkan setiap bayaran ikut invois.
- ✅ Invois asal masih jumlah penuh
- ✅ Setiap bayaran ada tarikh dan jumlah sendiri
- ✅ Resit tulis jumlah yang diterima, bukan jumlah invois
- ✅ Baki terkini dicatat, dan invois belum ditanda selesai
07. Cara Minta Pelanggan Bayar Sebahagian Dulu
Kalau anda nak pelanggan bayar deposit dulu, setuju sebelum kerja atau tempahan bermula, bukan selepas barang dihantar. Tulis tiga perkara dalam quotation atau invois: berapa deposit, bila baki perlu dibayar, dan cara bayar.
Ayat yang boleh terus guna:
Nak pilih tempoh yang sesuai untuk baki? Tengok cara pilih terma bayaran untuk pelanggan. Kalau supplier pula yang minta deposit daripada anda, minta syarat yang sama ditulis dalam quotation atau invoisnya.
08. Jejak Baki Bila Bayaran Masuk Sikit-Sikit
Satu dua invois, buku nota pun cukup. Bila invois dah banyak dan bayaran masuk sikit-sikit, anda mula tercari-cari: transfer RM500 semalam tu untuk invois mana?
Penyelesaiannya satu senarai “siapa masih berbaki”, yang anda semak seminggu sekali:
| Siapa | Invois | Baki (RM) |
|---|---|---|
| Borong Maju supplier · anda yang bayar | B-118 · RM3,000 sejak 3 Mac | 1,000 |
| Kedai Hana pelanggan · anda yang terima | INV-052 · RM1,500 sejak 12 Mac | 500 |
| Kafe Seri pelanggan · anda yang terima | INV-057 · RM2,400 sejak 18 Mac | 1,200 |
Daripada senarai ni, anda nampak dua perkara sekali pandang: berapa anda masih perlu bayar supplier (RM1,000), dan berapa pelanggan masih belum bayar anda (RM500 + RM1,200 = RM1,700).
Bila cuma ada beberapa invois, senarai macam ni masih mudah dijaga sendiri. Tapi bila supplier, pelanggan dan bayaran makin banyak, setiap bayaran kena dipadankan dengan invois yang betul. Kalau tidak, senang terlepas baki yang masih belum selesai.
Bila senarai makin panjang, soalan seterusnya ialah “dah berapa lama?”. Di sini laporan aging membantu: semak invois mana yang masih berbaki dan dah berapa lama, supaya anda tahu mana perlu dikejar atau dibayar dulu.
09. Rekod Bayaran Dalam Niagawan
Niagawan, sistem akaun cloud untuk bisnes kecil di Malaysia, simpan rekod bayaran bersama invoisnya:
- Rekod bayaran kepada supplier dan sediakan baucar bayaran dalam aliran bayaran yang sama.
- Satu bayaran boleh dipadankan dengan beberapa invois supplier yang sama.
- Rekod bayaran pelanggan pada invois jualan tertentu, tunai atau bank.
- Laporan aging tunjuk invois pelanggan dan supplier yang belum selesai dibayar.
Setiap bisnes susun bayaran sebahagian dengan cara sendiri. Kalau bayaran deposit atau ansuran memang biasa dalam bisnes anda, minta team kami tunjuk aliran sebenar ikut kes anda sebelum anda buat keputusan.
Bayaran masuk sikit-sikit dan baki makin susah nak jejak? WhatsApp team Niagawan dan ceritakan cara bisnes anda buat dan terima bayaran.
10. Soalan Lazim
Partial Payment Sama Dengan Bayar Separuh?
Tidak semestinya. Partial payment ialah apa-apa jumlah yang kurang daripada jumlah invois. Bayar RM1,000 untuk invois RM3,000 pun partial payment, walaupun bukan separuh.
Apa Maksud Partially Paid Pada Invois Atau Penyata?
Maksudnya sebahagian daripada invois itu dah dibayar, tetapi masih ada baki. Invois itu belum selesai sampai baki dibayar penuh.
Apa Perkataan Lain Untuk Partial Payment?
Dalam bahasa Melayu, bayaran sebahagian atau bayaran separa. Ada juga yang sebut part payment. Ansuran pula satu jenis bayaran sebahagian, iaitu bila bayaran dipecah ikut jadual.
Resit Untuk Bayaran Sebahagian Tulis Jumlah Apa?
Tulis jumlah yang betul-betul diterima, bukan jumlah invois. Elok juga tulis nombor invois dan baki yang tinggal, supaya pelanggan tahu berapa lagi perlu dibayar.
Perlu Buat Invois Baru Untuk Baki?
Biasanya tidak. Baki kekal pada invois asal, dan setiap bayaran direkod pada invois itu. Invois baru untuk baki boleh buat jualan atau belian dikira dua kali.
Deposit Sebelum Invois Dikira Partial Payment Ke?
Tidak sama. Deposit yang dibayar sebelum invois keluar ialah bayaran pendahuluan. Bila invois keluar, deposit itu biasanya diambil kira sebagai bayaran pertama untuk invois tersebut. Deposit keselamatan yang akan dipulangkan pula perkara lain.
Supplier Boleh Tolak Bayaran Sebahagian?
Biasanya ikut apa yang dipersetujui dalam terma bayaran. Kalau tiada persetujuan, bincang dulu dengan supplier sebelum bayar sebahagian.
Nota: Nama dan angka dalam halaman ini hanya contoh untuk belajar.
Ditulis oleh Bryant Gan, Pengasas Niagawan · Dikemaskini 25 September 2026